Perempuan luka yang tidak kecewa — penghormatan kepada wanita yang terus memberi tanpa pernah berhenti percaya.
Dalam dunia yang menuntut kehalusan dan kepatuhan, naskhah ini membongkar pelbagai dimensi wanita. Daripada yang tabah menghadapi cabaran, yang remuk tetapi tetap tumbuh, hingga yang melawan demi kebenaran. Perempuan Luka Kalis Kecewa — bukan sekadar helaian kata, tetapi sebuah cermin yang memantulkan suara-suara yang jarang didengar. Ia menghimpunkan refleksi serta pemikiran yang menggali erti keperempuanan dalam pelbagai wajah dan nuansanya. Bicaranya bukan sekadar tentang peranan yang diwarisi, tetapi juga cabaran yang hadir bersama perubahan zaman yang menuntut kebijaksanaan dalam membuat pilihan, mempertahankan prinsip, serta belajar mencintai hidup dengan segala lebih dan kurangnya. Naskhah ini adalah penghormatan kepada mereka yang diam-diam menanggung, yang terus memberi dan yang tidak pernah berhenti percaya bahawa keberanian dan kelembutan boleh wujud seiring dalam jiwa seorang wanita. Ditulis dengan kejujuran dan ketajaman renungan, Nik Nur Madihah bukan sekadar mencatat pengalaman, tetapi mengajak pembaca berfikir dan bertanya: bagaimana perempuan menavigasi dunia yang sering menuntut lebih daripada mereka?